Pertandingan Blogging 2010 - Entri 10
OTAK-OTAK
Otak-otak adalah sejenis makanan tradisional di perkampungan nelayan. Kebiasaannya dimakan sebagai makanan ringan di jamuan petang. Terdapat dua jenis otak-otak di Malaysia iaitu “Otak-otak Terengganu” dan “Otak-otak Johor.”Pada lazimnya ia dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah tetapi kini ianya boleh dibungkus dengan kulit popia dan dikenali sebagai ‘spring roll’. Kebiasaan otak-otak diperbuat daripada isi ikan laut. Bagi ikan air tawar yang sesuai untuk dibuat otak-otak ialah ikan tilapia merah, patin dan keli. Otak-otak yang dibungkus dengan daun kelapa atau daun nipah perlu dibakar di atas dapur arang atau dapur biasa. Ia lebih enak dimakan ketika masih panas.
TAPAI
Tapai ialah sejenis penganan yang dibuat daripada pulut. Terdapat 2 jenis tapai iaitu tapai ubi dan tapai pulut. Biasanya tapai pulut lebih popular jika dibandingkan dengan tapai ubi. Tapai pulut rasanya lebih sedap kerana itulah tapai ubi tidak dapat menandingi tapai pulut.
Bahan-bahan untuk membuat tapai tidaklah terlalu rumit. Tapai pulut memerlukan bahan seperti pulut, ragi dan sedikit gula. Ketiga-tiga bahan ini hendaklah dicampurkan sehingga sebati. Kemudiannya akan dibungkus sedikit-sedikit dengan menggunakan daun yang disebut sebagai daun tapai. Tetapi pada zaman ini, daun tapai semakin sukar didapati dan kebanyakan tapai dibungkus dengan menggunakan daun pisang. Terdapat sedikit perbezaan rasa antara tapai yang dibungkus dengan daun tapai dan tapai yang dibungkus dengan daun pisang.
Tapai yang telah siap dibungkus dimasukkan ke dalam pasu tempayan yang besar dan ditutup dengan kain. Setelah diperam dan disimpan selama 3 hari, tapai itu akan masak dan barulah boleh dimakan. Tapai yang telah masak mengeluarkan air yang sangat manis. Air tapai ini boleh diminum dan juga boleh dijadikan sebagai ubat tradisional.
Orang tua zaman dahulu juga mempunyai pantang larang apabila hendak membuat tapai. Apabila tapai sedang dibungkus, seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda-benda yang berwarna merah. Jika pantang larang ini dilanggar, tapai tersebut akan berwarna merah dan rasanya tidak sedap. Seseorang itu juga tidak boleh memakan benda yang masam ketika membungkus tapai kerana ia akan menyebabkan tapai menjadi masam.
Tapai yang telah masak juga tidak boleh disimpan lama, masanya adalah lebih kurang dalam 2 hari sahaja dan kerana rasanya yang terlalu manis biasanya sesuai dimakan pada waktu tengah hari sebagai pencuci mulut, dan sekiranya mahu menambahkan lagi kesedapan tapai, tapai itu boleh dicampurkan dengan santan kelapa dan dimasukkan sedikit ais.
No comments:
Post a Comment