Thursday, July 22, 2010

Pertandingan Blogging 2010 - Entri 9

GULA MELAKA

Gula Melaka atau dikenali juga dengan nama Gula Tuak banyak terdapat di Melaka. Gula Melaka diperbuat daripada air nira kelapa. Kemanisan dan kehalusan Gula Melaka ini berbeza dengan gula tiruan yang berada di pasaran kini.Proses membuat Gula Melaka bukanlah satu pekerjaan yang mudah kerana ia terpaksa melalui tiga peringkat pemprosesan. Seseorag yang pakar dalam membuat Gula Melaka dapat mengenal pasti kelapa yang dapat menghasilkan air nira yang baik. Ini penting bagi mendapatkan Gula Melaka yang bermutu tinggi.
Peringkat pertama dalam menghasilkan Gula Melaka ialah dengan menggunakan buluh dan pengikatnya serta pisau yang dikenali sebagai ‘penyadap’ untuk mengambil nira kelapa. Setelah itu, mayang kelapa dilenturkan dengan membalutnya pada daun kelapa muda. Ianya dilenturkan sedikit demi sedikit dan proses ini berterusan sehingga seminggu bagi mengelakkan tangkai mayang itu patah. Mayang yang dilentur dibuang seludangnya dan dihiris sedikit demi sedikit dan air nira ditakung ke dalam buluh yang sepanjang 1 kaki. Di dalam tabung tersebut diletakkan sedikit kapur untuk mencegah air nira daripda menjadi masam. Air nira ini dikenali sebagai air tuak.
Pada peringkat kedua proses memasak Gula Melaka selama empat jam. Pada peringkat ini pengawasan dan pengalaman penting bagi mneghasilkan gula yang baik. Tempat memasak gula Melaka dikenali sebagai sebagai ‘sabak’. Api sabak mesti dijaga agar tidak terlalu besar ketika gula mulai pekat dan mengeluarkan buih yang berwap panas. Nyalaan api tidak boleh dibesarkan lagi di peringkat ‘bunga sena’ di mana keadaan gula telah menjadi agak pekat dan mengeluarkan banyak buih dan mula dikacau perlahan-lahan. Beberapa minit kemudian, kancah diturunkan dan terus dikacau bagi menghasilkan gula yang halus.
Peringkat terakhir ialah bagi memastikan setelah cukup ukuran kepekatannya dan gula masih panas dituangkan ke dalam acuan yang diperbuat daripada buluh setinggi 3 inci, tidak tertutup di kedua-dua hujungnya dan tabung tersebut diletakkan di atas lantai khas. Setelah beku, gula tersebut dikeluarkan daripada bekas tersebut.


DODOL


Ia sejenis makanan yang boleh dikategorikan dalam kumpulan makanan yang manis (atau manisan/penganan). Dodol sangat terkenal di Melaka. Membuat dodol boleh dikatakan amat rumit. Ramai orang selalu mencuba untuk membuatnya. Tetapi tidak semua yang akan menghasilkan dodol yang bermutu tinggi. Biasanya mereka yang mahir membuat dodol ini terdiri daripada mereka yang telah berusia. Jarang sekali generasi muda mahir membuat dodol. Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam.
Untuk membuatnya, bahan-bahan tersebut hendaklah dicampurkan bersama di dalam kuali yang besar atau dikenali sebagai kawah dan dimasak dengan api yang sederhana besar. Dodol yang dimasak tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan, dodol akan hangus atau hangit di bahagian bawahnya/kerak. Oleh itu, dodol hendaklah sentiasa dikacau bergilir-gilir untuk mendapatkan hasil yang baik. Dodol yang dimasak memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 4 jam kerana sekiranya kurang dari 4 jam, dodol yang dimasak tidak sedap dimakan. Setelah 2 jam dodol tadi dimasak, dodol akan bertukar kepada warna coklat yang pekat sedikit. Dodol tersebut akan mendidih dan mengeluarkan gelembung-gelembung udara yang banyak.Seterusnya, dodol hendaklah dikacau supaya gelembung dodol tersebut tidak terkeluar dari kawah sehinggalah dodol tersebut masak dan diangkat.
Akhir sekali, dodol tersebut hendaklah disejukkan di dalam periuk yang besar. Untuk mendapatkan hasil yang baik dan rasa yang sedap, dodol mestilah berwarna coklat tua, berkilat dan pekat. Selepas itu, dodol tersebut bolehlah dipotong dan dimakan. Kebiasaannya dodol akan dihidang kepada tetamu pada hari-hari tertentu seperti hari-hari perayaan dan majlis kenduri.

No comments:

Post a Comment